Home > Case Law Studies > AHIYAR SAPARI LWN. PP MAHKAMAH TINGGI MALAYA, SHAH ALAM [RUJUKAN JENAYAH NO: 42-77-2004]

AHIYAR SAPARI LWN. PP MAHKAMAH TINGGI MALAYA, SHAH ALAM [RUJUKAN JENAYAH NO: 42-77-2004]

AHIYAR SAPARI LWN. PPMAHKAMAH TINGGI MALAYA, SHAH ALAM[RUJUKAN JENAYAH NO: 42-77-2004]SYED AHMAD HELMY H14 JANUARI 2008

PENGHAKIMAN

Syed Ahmad Helmy H:

[1] Ini adalah rayuan oleh tertuduh (OKT) terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Klang bertarikh 24 November 2004. Tertuduh telah disabitkan dengan pertuduhan di bawah s. 376 Kanun Keseksaan seperti berikut:

Bahawa kamu, pada 9.3.2002, jam lebih kurang 3.30 pagi, di ruang tamu sebuah rumah di Johan Setia, Jalan Meru, Klang di dalam daerah Klang, dalam Negeri Selangor, telah merogol seorang budak perempuan bernama Nur Hanim binti Sulaiman KPT: 880522-56-5876 berumur 14 tahun dengan itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

Fakta Kes

[2] Pihak pendakwaan telah memanggil seramai enam orang saksi dan di akhir kes pendakwaan, mahkamah yang mendengar kes ini telah memutuskan bahawa pihak pendakwa telah berjaya mewujudkan satu kes prima facie ke atas OKT seperti di dalam pertuduhan. OKT kemudiannya telah dipanggil untuk membela diri dan beliau telah memilih untuk memberikan keterangan atas sumpah serta telah memanggil dua orang saksi iaitu, OKT sendiri (SD1) serta rakan serumah sewaktu kejadian (SD2). Di akhir kes pembelaan mahkamah yang mendengar kes ini telah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah. OKT telah dihukum penjara selama 16 tahun dari tarikh jatuh hukum serta tiga kali sebatan di bawah s. 376 Kanun Keseksaan.

Peruntukan Undang-Undang

[3] Mangsa Nur Hanim bt Sulaiman (SP2) telah dilahirkan pada 22 Mei 1988. Pada tarikh kejadian (9 Mac 2002), beliau berumur 14 tahun 10 bulan. Beliau berumur di bawah 16 tahun sewaktu kejadian. Seksyen 375(f) Kanun Keseksaan menggariskan bahawa persetujuan mangsa adalah tidak penting apabila dia adalah di bawah usia 16 tahun adalah terpakai.

[4]Seksyen 376 Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa, pihak pendakwaan harus membuktikan dua (2) intipati pertuduhan yang utama tanpa keraguan munasabah di akhir kes pendakwaan. Pertama adalah, mangsa (SP2) telah dirogol dan keduanya ialah, OKT yang telah merogol beliau. Untuk membuktikan kesalahan rogol mesti ada kemasukan kemaluan OKT ke dalam kemaluan mangsa walaupun sedikit.

Kes Pendakwaan-Keterangan SP1

[5] Pihak pendakwaan telah menggunakan keterangan daripada pegawai perubatan (SP1) bagi membuktikan mangsa telah dirogol. SP1 memaklumkan hasil pemeriksaan beliau, terdapat ‘old tear’/koyakan lama pada kedudukan pukul 2 yang mungkin terjadi dalam tempoh 48-72 jam.

[6] SP1 menyatakan bahawa koyakan boleh disebabkan oleh objek yang tumpul termasuk kemaluan lelaki (Sila rujuk ms 18 rekod rayuan). Sewaktu soal balas oleh peguam, SP1 mengakui bahawa SP2 (mangsa) ada memberi keterangan kepada beliau bahawa beliau telah dirogol pada 9 Mac 2007 (Sila rujuk ms 84 rekod rayuan). SP1 bersetuju bahawa koyakan boleh disebabkan oleh blunt object tanpa merujuk kepada mana-mana organ manusia (Sila rujuk ms 86 rekod rayuan).

[7] SP1 mengakui bahawa di dalam pemeriksaan mangsa di dalam kes ini terdapat dua pendapat pakar. Pakar O&G bernama Dr Mahendra dan pakar forensic petrolog bernama Dr Norliza daripada hospital yang sama (Sila rujuk ms 86 rekod rayuan). Pihak pendakwaan tidak memanggil kedua-dua pakar ini untuk memberi keterangan.

[8] Berdasarkan keterangan SP1 ini, intipati pertuduhan yang telah cuba dibuktikan oleh pihak pendakwaan bahawa mangsa telah dirogol adalah agak meragukan. Ini adalah kerana mangsa hanya diperiksa sembilan hari selepas kejadian berlaku dan koyakan boleh disebabkan apa-apa sahaja blunt object yang dimasukkan di antara 9 Mac 2002 sehingga tiga hari sebelum pemeriksaan iaitu, 15 Mac 2002. SP1 sendiri mengakui bahawa pelbagai ujian telah dilakukan (wet swab test, smear daripada introitus, wet smear daripada fornix untuk mencari speretozoa atau semen, smear daripada posterial fornix, dan endocervix dan ractel swab) dan no findings kerana mangsa dirujuk sembilan hari selepas kejadian (Sila rujuk ms 85 rekod rayuan).

Keterangan SP2 (Mangsa)

[9] Secara ringkasnya, mangsa telah menyatakan bahawa pada 8 Mac 2002 kira-kira jam 3.30 petang beliau telah mengambil teksi ke Stesen Komuter Kepong. Apabila sampai di situ beliau telah menghubungi OKT dan memberitahu bahawa beliau hendak pergi ke rumah kakak angkatnya, Norhidayah bt Zakaria (SP5). Walau bagaimanapun, mangsa menyatakan bahawa OKT telah meminta beliau untuk datang ke Klang untuk berjumpa dengan beliau. Mangsa telah pergi ke Klang dan menunggu tertuduh sehingga jam 11 malam setelah OKT habis bekerja. Seterusnya, mangsa menyatakan bahawa OKT telah menjemput beliau dan membawa pergi makan. Setelah itu, OKT telah membawa mangsa ke rumah kawan-kawan bujangnya dan bermalam di sana. Mangsa menyatakan bahawa beliau dan OKT telah tidur di ruang tamu rumah tersebut.

[10] SP2 di peringkat pemeriksaan utama telah menyatakan bahawa beliau tidak ingat apa-apa yang berlaku semasa malam kejadian dan terus tidur. Pada pagi hari kemudiannya beliau mendapati ada darah di seluar (Sila rujuk ms 22 rekod rayuan).

[11] SP2 seterusnya memberitahu bahawa pada malam kejadian terdapat dua orang kawan OKT di rumah tersebut. Beliau tidak mengenali mereka. Mereka tidur di dalam bilik pada malam tersebut. Beliau tidur di atas sofa di ruang tamu. Manakala, OKT tidur di sofa bersebelahan. Jarak di antara sofa ialah 10 kaki (Sila rujuk ms 31 & 32 rekod rayuan). Menjawab soalan yang dikemukakan oleh pendakwaan, SP2 mengakui bahawa sebelum tertidur OKT ada memegang buah dada beliau tanpa membuka pakaiannya dan seterusnya beliau telah tidak sedar. Beliau tidak tahu samada OKT ada masukkan kemaluannya atau tidak (Sila rujuk ms 33 rekod rayuan).

[12] Keterangan SP2 ini walaubagaimanapun, telah bertukar dengan begitu drastik sekali sewaktu pemeriksaan semula/re-examination. Pihak pendakwaan telah memohon kepada mahkamah untuk merujuk kepada statement 112 (Sila rujuk ms 41 rekod rayuan). SP2 menyatakan bahawa beliau pada mulanya tidak memberitahu perkara yang sebenar kerana nervous. Peguambela OKT tidak membantah dengan syarat dibenarkan untuk cross. Berikut diperturunkan keterangan SP2 selepas dirujuk dengan statement 112:

Selepas OKT menghisap buah dada saya, OKT telah cuba masukkan buah zakarnya ke dalam kemaluan saya. Saya tidak tahu samada masuk atau tidak tapi saya rasa sakit. Saya tidak nampak buah zakarnya kerana saya baring terlentang di atas lantai dan pandang kelain. Saya pandang ke tempat lain kerana tidak sanggup melihat perbuatan OKT. Saya cuba tolak tapi tidak berdaya. OKT tidak cakap apa-apa masa hendak masukkan buah zakarnya ke dalam kemaluan saya. Saya tidak ingat tapi setahu saya tiada apa-apa perbualan. Masa terlentang kaki saya berlunjur iaitu lurus ke arahnya. Kaki saya terkangkang. OKT didepan saya. OKT di atas saya. OKT hisap buah dada saya. OKT pegang seluruh anggota saya. OKT cuba masukkan buah zakarnya ke dalam kemaluan saya. OKT jilat saya punya bawah (kemaluan saya). Selepas itu dia masukkan buah zakarnya. Saya rasa sakit dekat kemaluan. Rasa sakit disebelah dalam. OKT berada diatas saya selama 10 minit. Semasa dia berada di atas saya, pergerakan badan di antara pusat dan lutut, pergerakan badannya turun naik. Saya tidak tahu samada dari pusat atau lutut tapi saya dapat tahu dia turun dan naik. Saya tidak perasan sama ada zakarnya masuk atau keluar daripada kemaluan saya tapi pada masa itu saya menahan sakit. Ya, turun dan naik zakar dengan kemasukkan zakarnya. Masa dia naik kemaluan saya sakit. Saya tidak tahu masa itu zakarnya keras atau tidak. Tapi saya rasa sakit. Dia turun naik lebih kurang 10 minit. Selepas itu dia tidur dan saya tidur sampai pagi.

[13] Keterangan SP2 berdasarkan statement 112 ini dengan jelas menceritakan secara terperinci tentang kelakuan OKT yang merogolnya. Keterangan SP2 berdasarkan statement 112 ini adalah amat berbeza sekali dengan keterangan beliau sebelum ini bahawa, beliau tidak sedar dan tidur sampai pagi. SP2 memberikan alasan bahawa beliau tidak menceritakan perkara yang sebenar kepada mahkamah sebelum ini kerana beliau nervous (Sila rujuk ms 43 rekod rayuan). Walauapapun, keterangan SP2 berdasarkan statement 112 ini perlu disokong oleh keterangan lain bagi membuktikan dakwaan SP2.

Keterangan SP3 (Ibu Mangsa)

[14] Pendakwaan telah memanggil SP3 iaitu ibu kepada mangsa yang bekerja sebagai kerani di Hospital Kuala Lumpur, untuk memberi keterangan bagi menyokong keterangan SP2. SP3 telah menyatakan kepada mahkamah bahawa mangsa (SP2) telah melarikan diri daripada rumah pada 8 Mac 2002 kerana dimarahi oleh bapanya kerana menggunakan telefon terlampau kerap untuk menelefon adik OKT (Rosli) sehingga mencecah hampir RM600 (Sila rujuk ms 53 rekod rayuan). Seterusnya, SP3 menyatakan bahawa pada 11 Mac 2002 barulah mereka berjumpa dengan SP2 di rumah kakak angkatnya (SP5).

[15] SP3 menyatakan bahawa sebaik sahaja berjumpa SP2 beliau telah menangis dan kemudiannya mendakwa beliau telah dirogol oleh OKT. Sewaktu ditanya oleh peguambela (Sila rujuk ms 60 rekod rayuan) SP3 telah menyatakan bahawa anaknya telah menceritakan bahawa semasa kejadian rogol berlaku anaknya tidak sedar. Walau bagaimanapun, SP2 beritahu bahawa OKT ada cium dia dan start ringan dengan dia. Tiba masa dalam pada itu dia tertidur. Apabila terjaga dia ada rasa cecair di atas seluar dalamnya. Seterusnya apabila ditanya samada SP2 ada menyatakan bahawa OKT masukkan kemaluannya ke dalam kemaluan SP2, SP3 mengakui. Bagaimana dia beritahu? SP2 menyatakan bahawa dia ada rasa benda masuk ke dalam kemaluannya. Dia pasti benda itu kemaluan OKT (Sila rujuk ms 61 rekod rayuan).

Seterusnya di peringkat pemeriksaan semula, SP3 menegaskan bahawa SP2 beritahu dia tidak pasti sama ada OKT merogolnya atau tidak. Bila buang air kecil rasa sakit dan ada darah sikit. SP2 ada beritahu kemaluan OKT ada masuk ke dalam kemaluannya (Sila rujuk ms 62 rekod rayuan).

[16] Keterangan SP3 ini sebenarnya membuktikan bahawa beliau tidak tahu menahu tentang apa yang dinyatakan oleh SP2 berdasarkan statement 112, bahawa OKT telah merogol SP2. SP3 masih mempercayai bahawa SP2 tidak sedar semasa kejadian tersebut berlaku, walaupun sebelum SP3 memberi keterangan, SP2 telah menyatakan bahawa beliau telah dirogol dengan terperinci kepada mahkamah berdasarkan statement 112. Oleh itu, keterangan SP3 adalah tidak menyokong keterangan SP2 bahawa beliau telah dirogol oleh OKT sepertimana keterangan SP2 berdasarkan statement 112 iaitu SP2 tidak sedar semasa kejadian.

Keterangan SP4

[17] SP4 adalah datuk kepada SP2 dan hanya mendengar keterangan-keterangan melalui ibu bapa SP2. Keterangan beliau adalah hearsay dan tidak menyokong keterangan SP2 dirogol oleh OKT.

Keterangan SP5

[18] SP5 adalah kakak angkat SP2 yang telah mengambil beliau di Stesen Komuter Klang pada petang 9 Mac 2002, iaitu kira-kira jam 2 petang. Mengikut keterangan SP5 (Sila rujuk ms 69 rekod rayuan), SP2 hanya memberitahu beliau dirogol pada malam hari. Itu pun, setelah SP5 sendiri bertanya kerana melihat SP2 dalam keadaan muram. SP2 hanya menyatakan bahawa OKT telah memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluan SP2. Kemudian beliau menangis dan SP5 bersetuju dengan cadangan peguambela bahawa beliau tidak bertanya soalan lain selain daripada itu kerana SP2 dalam keadaan sedih.

[19] Keterangan SP5 ini adalah begitu berbeza dengan keterangan SP2. SP2 menyatakan bahawa apabila berjumpa dengan SP5, beliau telah menunjukkan seluar dalamnya yang berdarah dan bertanyakan SP5 samada darah haid/period atau tidak? Seterusnya SP2 memberikan keterangan bahawa SP5 telah menyatakan bahawa mungkin OKT telah melakukan sesuatu yang tidak baik terhadapnya (Sila rujuk ms 36 rekod rayuan).

[20] Keterangan siapakah yang benar? Walauapapun, keterangan SP5 adalah tidak menyokong sebarang keterangan SP2 bahawa OKT yang telah merogol SP2. SP5 juga sendiri mengaku bahawa beliau tidak kenal langsung OKT sebelum itu.

Keterangan SP6

[21] SP6 ialah pegawai penyiasat di dalam kes ini dan menyatakan bahawa selepas laporan polis dibuat oleh SP2 pada 14 Mac 2002, beliau telah arahkan mangsa berjumpa dengan beliau di pejabat. Pada 15 Mac 2002 OKT telah ditangkap. Tiada penyiasatan lanjut dilakukan, tiada rajah kasar, tiada gambar, tiada darah atau air mani diambil, tiada keterangan dirakam dari dua orang kawan OKT yang ada di rumah di mana kejadian rogol yang dikatakan berlaku.

[22] Adalah menjadi satu fakta yang tidak dinafikan di dalam kes ini bahawa wujud dua orang kawan OKT di tempat kejadian pada malam tersebut. Kedua-dua mereka tidak dipanggil untuk memberi keterangan oleh pihak pendakwaan. Adakah kehadiran mereka dan kelakuan mereka yang tidur serumah dengan OKT dan SP2 pada malam kejadian tersebut tidak penting untuk siasatan?

[23] Selain daripada laporan polis oleh SP2 tiada sebarang siasatan lanjut dibuat terhadap tempat kejadian. Tiada rajah kasar, gambar atau sebarang maklumat tentang tempat kejadian. Tiada sebarang siasatan yang dilakukan terhadap kawan-kawan OKT yang berada dirumah tersebut. SP6 cuba membela dirinya dengan menyatakan bahawa beliau ada mengambil keterangan dari SP5 (kakak angkat) dan SP3 (ibu) serta ada membawa mangsa untuk membuat pemeriksaan di hospital. Adakah ini dikatakan siasatan? Keterangan SP6 tanpa sebarang siasatan lanjut, langsung (ditekankan) tidak menyokong keterangan SP2 bahawa OKT yang telah merogol SP2.

Alasan Memanggil OKT Untuk Membela Diri

[24] Berkali-kali saya membaca alasan penghakiman yang disediakan dan saya gagal mendapat sebarang alasan kenapa OKT dipanggil untuk membela diri. Secara ringkasnya hakim yang mendengar kes ini hanya menyatakan bahawa setelah mendengar keterangan SP1 yang menyatakan bahawa kemungkinan kesan koyakan adalah disebabkan oleh kemaluan lelaki dan mendengar keterangan SP2 serta SP6, beliau telah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membentuk prima facie kes, tanpa keraguan munasabah.

[25] Hakim yang mendengar kes ini telah tersilap dari segi fakta dan undang-undang apabila gagal meneliti serta menilai keterangan saksi-saksi pendakwaan dalam membuktikan satu kes prima facie berdasarkan prinsip di dalam kes Looi Kow Choi & Anor v. PP [2003] 1 CLJ 734 yang menyatakan bahawa hakim hanya mempunyai satu pertimbangan untuk dibuat; beliau mestilah menaklukkan keterangan pendakwaan kepada suatu penilaian maksima dan selepas itu menanya dirinya soalan ini: sekiranya aku memutuskan memanggil tertuduh untuk membela diri, dan dia memilih untuk berdiam diri, adakah aku akan mensabitkannya berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukan oleh pendakwaan? Jika jawapannya negatif, maka tiada kes prima facie dibuktikan, dan tertuduh berhak untuk dibebaskan.

[26] Meneliti fakta kes ini Hakim Mahkamah Sesyen telah gagal mengambilkira keterangan SP1 yang menyatakan bahawa koyakan juga boleh disebabkan blunt object selain daripada organ manusia dan tiadanya keterangan dua orang pakar yang memeriksa mangsa. Selain daripada itu, tiadanya keterangan sokongan tentang identiti perogol sebenar berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan yang lain seramai enam orang, hanya meninggalkan keterangan mangsa (SP2) sendiri, tanpa sebarang sokongan dan perlu ditekankan bahawa keterangan SP2 ini adalah berdasarkan statement 112 yang dibacakan sewaktu perbicaraan.

[27] Menuduh kesalahan seksual adalah amat mudah untuk dibuat. Ianya adalah sangat susah untuk dipertahankan. Oleh itu, mahkamah selalunya akan melihat kepada keterangan yang menyokong. Sila lihat Chiu Nang Hong v. PP [1964] 1 LNS 24; [1965] 1 MLJ 40. Mahkamah telah secara konsisten melihat kepada keterangan/bukti sokongan di dalam kes-kes kesalahan seksual dan lebih-lebih lagi di dalam kes rogol.

[28] Menyentuh tentang tahap pembuktian sesuatu kes jenayah saya ingin merujuk kepada kes Hamzah Najdi v. PP [2007] 7 CLJ 437 yang telah merujuk kepada kes Mohamad Radin bin Yaakob v. Public Prosecutor [1991] 3 CLJ 2073; [1991] 1 CLJ (Rep) 311 di mana Mohamed Azmi (SCJ) telah menggariskan seperti berikut:

It is a well-established principle of Malaysian criminal law that the general burden of proof lies throughout the trial on the prosecution to prove beyond reasonable doubt the guilt of the accused for the offence with which he is charged. There is no similar burden placed on the accused to prove his innocence. He is presumed innocent until proven guilty. To earn an acquittal, his duty is merely to cast a reasonably doubt in the prosecution case.

[29] Kembali kepada kes ini, selain keterangan mangsa (SP2) berdasarkan statement 112, tiada keterangan atau bukti lain untuk meyakinkan mahkamah bahawa OKT telah merogol SP2. Kawan-kawan OKT yang berada di rumah tempat kejadian berlaku tidak dipanggil oleh pendakwaan untuk memberi keterangan di mahkamah mahupun bagi tujuan siasatan kes ini. Kehadiran kawan-kawan OKT sepanjang malam kejadian tersebut sepatutnya diambil kira sebagai satu elemen penting di dalam siasatan pihak pendakwaan kerana mereka ada bersama-sama OKT dan SP2 sepanjang malam tersebut. Ketiadaan siasatan terhadap mereka mahupun keterangan mereka hanya menimbulkan satu keraguan yang munasabah di dalam kes pendakwaan. Mungkinkah mereka terlibat?

[30] Keterangan-keterangan SP3, SP4, SP5 secara amnya juga adalah keterangan dari keluarga SP2 sendiri. Mereka juga mendapat maklumat daripada SP2 sendiri, dan maklumat-maklumat tersebut adalah jauh berbeza dengan maklumat yang telah diberitahu kepada I.O. kes SP6 berdasarkan statement 112. Mengambilkira semua perkara-perkara yang dinyatakan, saya berpendapat bahawa Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana terkhilaf memanggil OKT membela diri di akhir kes pendakwaan, dan beliau sepatutnya dibebas serta dilepaskan daripada pertuduhan.

Kes Pembelaan

[31] Dua orang saksi telah dipanggil. OKT/SD1 sendiri serta salah seorang kawan OKT/SD2 yang berada di rumah tempat kejadian pada malam tersebut. Versi pembelaan OKT adalah beliau tidak terlibat dan pegawai penyiasat (SP6) gagal menyiasat dengan terperinci.

Saksi Pembelaan 1 (SD1)

[32] SD1 menegaskan (sila rujuk ms 101 rekod rayuan) bahawa SP2 telah telefon dan meminta tolong dari beliau untuk menjemputnya di Klang kerana beliau telah lari dari rumah. Sebagai seorang kawan beliau sanggup membantu tetapi dengan syarat selepas habis masa bekerja iaitu kira-kira jam 11 malam. SP2 bersetuju untuk menunggu SD1 dan selepas kerja SD1 telah mengambil SP2 di Klang. SD1 telah membawa SP2 makan malam dan SP2 telah memberitahu bahawa beliau telah lari dari rumah, bergaduh dengan ibu bapanya dan tidak tahu hendak ke mana (Sila rujuk ms 101, 105, 110 rekod rayuan).

[33] Seterusnya, semasa di tempat kejadian SD1 telah memaklumkan bahawa beliau telah tidur di ruang tamu bersama SD2 sehingga pagi (Sila rujuk ms 102 rekod rayuan). Keterangan beliau ini disokong oleh SD2 (Sila rujuk ms 113 rekod rayuan). Keterangan SD1 bahawa pada malam kejadian beliau tidur bersama-sama SD2 di ruang tamu telah dibantah oleh pendakwaan di atas alasan tiada notis di bawah s. 402(a) Kanun Acara Jenayah yang diberi untuk mengemukakan defence alibi.

[34] Peguambela telah berhujah bahawa alibi tidak dimasukkan di sini kerana ianya hanya terpakai jika tertuduh tidak berada di tempat kejadian. Hakim yang mendengar kes ini telah memutuskan agar pihak-pihak berhujah mengenai isu ini di akhir kes pembelaan.

[35] Meneliti hujahan kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan mengenai isu ini, peguambela telah berhujah bahawa SD2 sememangnya tidur bersama-sama OKT di ruang tamu pada malam kejadian tersebut (sila rujuk ms 119 rekod rayuan). Pihak pendakwaan langsung tidak menyentuh isu ini (Sila rujuk ms 121 dan 122 rekod rayuan). Keterangan SD1 bahawa beliau tidur di ruang tamu bersama-sama SD2 adalah tidak dicabar sama sekali.

[36] Satu perkara yang menarik perhatian saya di sini ialah kenapa SD2 tidak disiasat oleh pegawai penyiasat (SP6)? Hasil kajian ke atas nota keterangan, saya mendapati SP2 sendiri tidak menceritakan tentang kawan-kawan Ahiyar kepada pegawai penyiasat (SP6) semasa siasatan. Mangsa (SP2) hanya menyatakan bahawa OKT telah bawa beliau ke sebuah rumah bujang yang beliau tidak pernah pergi sebelum ini dan pada tengah malam tersebut OKT telah ajak beliau untuk melakukan hubungan seks (Sila semak ms 74 rekod rayuan).

[37] Sewaktu membuat laporan polis pula, mangsa (SP2) menyatakan bahawa OKT telah membawa beliau ke rumah bujangnya di Meru dan pada pukul 3.30 pagi beliau telah dirogol oleh OKT (P1 ms 146 rekod rayuan). Keterangan mangsa (SP2) kepada pegawai penyiasat (SP6) di dalam laporan polis (P1) seolah-olah, di tempat kejadian tiada orang lain. Mengapakah mangsa seolah-olah cuba menyembunyikan perkara ini?

Saksi Pembelaan 2

[38] SD2 telah memberi keterangan kepada mahkamah yang mendengar kes ini dan mengakui bahawa beliau mengenali OKT sudah 11 tahun (sewaktu itu) dan bekerja di tempat yang sama. Beliau menyatakan bahawa terdapat dua orang lagi rakan serumahnya pada malam kejadian tersebut iaitu, Saiful dan Baharin. Seterusnya, SD2 menyatakan bahawa pada malam kejadian beliau telah pelawa mangsa (SP2) untuk menggunakan biliknya dan beliau bersama-sama OKT telah tidur di ruang tamu. Pada pagi keesokkannya, mangsa (SP2) telah kejutkan OKT yang tidur di sebelah beliau dan beliau telah terjaga sekali (Sila rujuk ms 113 rekod rayuan).

[39] Di peringkat soal balas, (sila rujuk ms 115 rekod rayuan) SD2 telah menegaskan bahawa beliau sememangnya tidur di ruang tamu bersama-sama OKT pada malam kejadian dan menafikan bahawa beliau tidur di dalam biliknya. SD2 menegaskan sekali lagi di peringkat pemeriksaan semula bahawa beliau tahu beliau sedang memberi keterangan bersumpah dan tidak berbohong. Beliau hanya menceritakan apa yang berlaku pada malam kejadian (sila rujuk ms 116 rekod rayuan). Keterangan SD2 ini menyokong keterangan OKT (SD1) bahawa beliau telah tidur dengan SD2 pada malam kejadian sehingga ke pagi dan sekali gus menafikan keterangan mangsa (SP2) bahawa pada malam kejadian OKT telah tidur di ruang tamu dengan beliau.

Kesimpulan

[40] Mahkamah yang mendengar kes ini telah gagal pada peringkat pendakwaan untuk mengambilkira keterangan pegawai perubatan (SP1) yang menyatakan bahawa pelbagai ujian yang dijalankan memberi kesan negatif kerana, SP2 hanya diperiksa selepas sembilan hari kejadian di katakan berlaku. Mahkamah yang mendengar kes ini juga telah gagal untuk mengambilkira kecacatan keterangan pegawai perubatan (SP1) apabila pihak pendakwaan telah gagal untuk memanggil dua orang pakar yang telah menjalankan ujian ke atas mangsa untuk mengesahkan bahawa SP2 telah dirogol. Oleh itu, intipati pertuduhan yang pertama iaitu mangsa telah dirogol adalah meragukan.

[41] Hakim tersebut juga telah gagal untuk menerima fakta bahawa, tidak wujud langsung keterangan sokongan oleh mana-mana saksi pendakwaan bahawa mangsa (SP2) telah dirogol oleh OKT, selain daripada keterangan mangsa (SP2) sendiri. Oleh itu, intipati pertuduhan yang kedua iaitu OKT merogol mangsa (SP2) juga adalah meragukan.

[42] Manakala di peringkat pembelaan, Hakim Mahkamah Sesyen telah gagal mengambilkira keterangan SD1 dan SD2 yang tidak dapat dicabar sama sekali oleh pihak pendakwaan bahawa, mereka berdua tidur di ruang tamu dan mangsa (SP2) tidur di dalam bilik SD2 sehingga pagi. Meneliti alasan penghakiman (sila rujuk ms 136 dan 137 rekod rayuan) berkenaan isu ini, Hakim Mahkamah Sesyen hanya bergantung sepenuhnya kepada keterangan SP2 bahawa beliau tidur di ruang tamu bersama-sama OKT.

[43] Keterangan SD1 dan SD2 yang tidak tercabar oleh pendakwaan di dalam kes ini juga telah menafikan sama sekali keterangan SP2 bahawa beliau tidur di ruang tamu bersama-sama OKT. Keterangan SD2 ini juga memberikan jawapan kepada persoalan saya sebelum ini kenapakah mangsa (SP2) tidak menyatakan kepada pegawai penyiasat (SP6) semasa disiasat dan di dalam laporan polis (P1) tentang kewujudan kawan-kawan OKT di tempat kejadian pada malam tersebut. Adalah amat jelas pada peringkat ini pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

[44] Berdasarkan kepada semua keadaan kes yang telah dinyatakan, demi keadilan, saya memutuskan bahawa rayuan OKT terhadap sabitan dan hukuman dibenarkan dan OKT/perayu dilepaskan dan dibebaskan.

Categories: Case Law Studies
  1. No comments yet.
  1. March 23, 2014 at 9:35 pm
    http://www.youtube.com/watch?v=eWTOIadTEv4
  2. March 26, 2014 at 8:58 am
    kansas city ford dealership
  3. March 28, 2014 at 4:58 am
    ford fusion hybrid
  4. March 31, 2014 at 4:27 am
    services search engine
  5. April 4, 2014 at 3:46 pm
    http://petsopedia.com/pet-lifestyles
  6. March 11, 2015 at 11:32 am
    Kelty friendly builders

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: